Bapa mithali didik anak ikut acuan agama

tak sempat nk baca so aku post kat sini dulu…sumber mstar

KUALA LUMPUR: “Biar kita miskin harta, tetapi kaya budi bahasa dan ilmu,” kata Yusof Husin, 62 dari Kampung Banggol, Setiu, Terengganu.

Atas prinsip itulah beliau membesarkan 12 orang anaknya tanpa rasa jemu menggunakan pendekatan agama dan kasih sayang.

Salah satu prinsip yang digunakan beliau ialah memastikan anak-anaknya sentiasa berada di depan matanya.

Setiap kali pulang dari kerja, perkara pertama yang ditanya ialah tentang anak-anaknya. Di mana mereka berada dan ke mana mereka pergi.

Yusof yang lebih mesra dipanggil Pak Yusof tidak membiarkan anak-anaknya bebas malah basikal juga tidak pernah dibeli supaya anak-anaknya tidak panjang langkah.

“Bukan untuk mengongkong mereka tetapi adalah bagi mendidik mereka supaya tidak membuang masa begitu sahaja.

Sungguhpun begitu, anak-anak mujurlah jenis yang mendengar kata, jadi walaupun ramai dan serba sederhana, mereka tetap membesar di depan mata saya,” jelas Yusof yang memenangi Anugerah Keluarga Mithali sempena sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Terengganu 1428/2007 M bagi kategori Bapa Mithali.

Mendidik anak

Walaupun Pak Yusof mengakui dirinya tegas dan garang dengan anak-anak, namun garangnya bertempat.

“Saya tegas dengan mereka. Tugas mereka adalah belajar.

Tetapi tidaklah hingga memukul mereka. Paling garang pun saya cubit. Itu kalau dah marah sangat.

“Tetapi, walaupun kita cubit, dengan air muka yang ikhlas, InsyaAllah apa yang hendak kita sampaikan pada anak-anak tu, mereka dapat terima dan belajar daripada kesilapan tersebut,” terang Yusof.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, ketika itu cabaran membesarkan anak-anak tidaklah sehebat cabaran ibu bapa hari ini yang dikelilingi oleh banyak masalah sosial.

Bagi bapa contoh ini, jika mengikut peraturan sebenar mendidik anak, adalah sunat jika mengikut sunah nabi, iaitu berlandaskan al-Quran.

“Dalam mendidik anak-anak, perlu betul caranya. Ibu bapa juga kena beramal dengan al-Quran. Itu adalah asas ibadat kita.

“Begitu jugalah dengan bersolat. Kalau ibu bapa buat semua perkara tersebut, barulah mereka boleh memaksa anak-anak dan juga boleh mencegah perkara-perkara mungkar. Sekaligus mendidik disiplin dan kesederhanaan dalam diri kita,” sambung Yusof.

Berkat sentiasa mengamalkan solat berjemaah bersama keluarga serta amalan membaca al-Quran di rumah, anak-anaknya bebas daripada segala gejala sosial dan berjaya di dalam pelajaran.

Empat daripada anak-anaknya menjadi guru selepas menamatkan pengajian di pusat pengajian tinggi.

Ada yang bertugas sebagai Pegawai Kerajaan serta masih belajar di institusi pengajian tinggi.

Menurut beliau, walaupun tidak berpelajaran tinggi, ibu bapa perlu sentiasa menambah ilmu dengan meningkatkan bahan bacaan termasuklah buku-buku berbentuk keagamaan.

Namun bagi Yusof, tugas mendidik anak-anaknya seramai 12 orang itu bukanlah terletak di atas bahunya seorang.

Arwah isteriya Rokiah Mat, yang telah meninggal dunia dua tahun lalu akibat masalah buah pinggang juga adalah penggerak dalam membentuk keluarga mereka menurut acuan yang telah dimulakan Yusof.

Baik dibalas baik

Berkhidmat sebagai buruh am selama 30 tahun di Sekolah Kebangsaan Banggol dengan gaji akhir sewaktu pencen ialah RM 700, Yusof tidak pernah berasa beliau kesempitan wang dalam membesarkan anak-anaknya.

Selain bekerja makan gaji, Yusof turut membuat kerja-kerja kampung seperti bertukang, bercucuk tanam dan juga mengambil upah menebas.

Dalam masa yang sama, sifat kepimpinan yang ada dalam dirinya menyebabkan beliau diberi kepercayaan menjadi Pengerusi Jawatan Kuasa Kampung (JKK) Kampung Banggol selama 30 tahun.

“Walaupun tidak hidup mewah, tetapi saya berpegang kepada kata-kata Allah bahawa buatlah sesuatu yang baik, InsyaAllah, Tuhan membalasnya.

“Dan Alhamdulillah, pada saya, apa yang dilakukan itu adalah ikhlas dan dengan cara itu ia berbalik semula kepada anak-anak saya.

Segala urusan berkaitan anak-anak dipermudahkan segala-galanya oleh Allah SWT,” kata Yusof.

Khidmat masyarakat

Selain menjadi Ketua Kampung, Yusof juga banyak melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

Menurutnya, beliau hidup untuk berkhidmat kepada masyarakat serta ahli keluarganya.

Kerana sayangkan kampungnya, Yusof telah menyumbangkan tanah persendirian untuk dijadikan tapak Pondok Harmoni K3P Banggol, yang menjadi tempat penduduk kampung berkumpul bagi menjayakan aktiviti kampung.

Beliau kini telah meletakkan jawatan sebagai pengerusi JKK kampung namun masih lagi menjadi AJKnya.

Masanya dihabiskan dengan mengajar al-Quran di surau kepada lebih 70 orang pelajar yang terdiri daripada orang dewasa dan kanak-kanak.

Sungguhpun dianugerahkan sebagai Bapa Mithali, lelaki yang gemar merendah diri ini tetap menyatakan semua kebaikan yang ada itu adalah diperoleh daripada Allah SWT. BERNAMA

Leave a comment

Filed under Uncategorized

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s